IQNA

Menyambut hari kelahiran Rasulullah S.A.W

12:04 - October 20, 2021
Berita ID: 3100309
TEHRAN (IQNA) - DALAM beberapa buku sejarah ringkas berkenaan Sallehuddin al-Ayubi, beliau dikatakan antara individu yang memberi galakan sambutan hari kelahiran Rasulullah S.A.W. Beliau seorang pahlawan Islam yang terhebat berketurunan Kurdistan.

Dikatakan antara sebab beliau membuat sambutan itu kerana melihat umat Islam ketika itu, sudah semakin jauh daripada Rasulullah S.A.W atau melupakan Baginda. Selain itu, beliau juga membersihkan tenteranya daripada pembelot.
Apabila majlis-majlis seperti itu diadakan, semangat umat Islam dalam mengenali Rasulullah S.A.W bertambah. Dengan kesatuan hati umat Islam, akhirnya, beliau berjaya merampas kembali tanah milik umat Islam, Palestin. Beliau berjaya memenangi Perang Salib di zaman beliau dengan mengalahkan antara musuh terhebat di waktu itu, Richard ‘The Lionheart’. King Richard mengakui kehebatan Sallehuddin al-Ayubi yang berjaya menyuntik semangat jihad dalam jiwa pasukannya.

Sehinggalah pada zaman kejatuhan Uthmaniyyah, tentera British ketika itu tidak pernah menggelarkan perang mereka sebagai Perang Salib, dibimbangi kerana umat Islam yang membantu mereka mengkhianati Uthmaniyyah yang percaya mereka berada dalam kebenaran, akan berpaling tadah kerana menyedari bahawa perang yang mereka membantu British itu ialah kesinambungan Perang Salib dahulu.

Disebut oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sewaktu umat Islam gembira merayakan kejatuhan Uthmaniyyah, khalifah Islam yang mereka sendiri khianati itu, pegawai-pegawai tertinggi British, masuk ke makam Sallehuddin al-Ayubi dan mencabar supaya ‘Saladin’ panggilan mereka kepada Sallehuddin, untuk bangun dari kubur dan berlawan dengan mereka. Nyata yang amat, dendam kesumat mereka itu, mewakili nenek moyang mereka. Kekallah harum nama Sallehuddin al-Ayubi sebagai seorang pahlawan terbilang Islam. Tiada pernah dia dituduh sebagai ahli bidaah.

Terjadi suatu peristiwa, George W. Bush pernah tersasul ketika menyerang Iraq, yang kebetulannya negara asal Sallehuddin, menggelarkannya ia adalah Perang Salib. Beliau dimarahi kerana kejahilannya menyebut perkara yang amat sensitif kepada umat Islam itu. Kemudian, Nouri al-Malki seorang Syiah yang juga belaan US, mengambil alih kuasa dari Saddam Hussein, lalu Iraq menjadi kucar-kacir kerana isu mazhab pula dimainkan. Balas dendam Syiah kepada Sunni, dimulai. Kekayaan Iraq, disedut musuh. Umat Islam berpecah dibelah si kafir.

Kata Sallehuddin al-Ayubi, jika sesiapa menguasai Palestin, bermakna dia menguasai dunia. Dan benarlah kenyataan beliau itu. Bagi raja yang berjaya mengambil kekuasaan di Palestin, dia bukan seorang raja yang biasa, dia adalah raja yang sangat hebat. Dalam Islam, kita percaya raja mukmin itu pastinya mendapat redha Allah kerana hanya yang mempunyai semangat jihad yang ikhlas kepada Allah sahaja yang akan berjaya menguasai Palestin.

Apabila kita mendengar kisah berkenaan betapa berdisiplinnya tentera Briged al-Qassam di Palestin, kita sudah merasakan mereka terlalu hebat dengan semangat melawan, amalan mereka dan juga kita dapat rasakan keikhlasan mereka. Namun, sehingga kini, mereka belum berjaya merampas Palestin. Bayangkan bagaimana keadaan tentera-tentera jihad yang telah berjaya menakluki Palestin melalui Kerajaan Islam terdahulu. Mereka pasti jauh lebih hebat disiplinnya.

Dan kita di sini, masih berbalah mengenai perkara yang tidak sepatutnya. Manakah cinta kita kepada Rasulullah S.A.W? Apa bukti kita sanggup berkorban demi Islam? Apakah amalan kita yang akan memberikan kita syafaat Rasulullah S.A.W? Sirah mencatatkan, Abu Lahab antara yang paling gembira menyambut kelahiran Rasulullah S.A.W dengan menyembelih 100 ekor unta, tetapi menjadi penentang tegar kepada Baginda, sehingga dia disahkan ke neraka sebelum mati melalui surah al-Masad.

Menangnya tentera-tentera Islam terpilih dahulu menentang musuh Allah, bukanlah kerana mereka ramai dan juga kerana kelengkapan senjata yang terlalu canggih. Tetapi menangnya mereka kerana kesatuan hati mereka hanya kepada Allah dan Rasul tidak berbelah bahagi, menjadikan mereka kuat, bergantung hanya kepada Allah, bukan kepada ramainya tentera mahupun kecanggihan peralatan. Dengan pelepah tamar, mereka menang melawan musuh 1 nisbah 3.

Jadi, apakah kita menyambut hari kelahiran Rasulullah tetapi menjadi penentang ajarannya atau kita benar-benar menjadi pengikut setia Rasulullah S.A.W? Tiada orang yang boleh menjawab, kecuali hati kita sendiri. Kita tahu diri kita, sama ada apa yang kita zahirkan itu benar, ataupun berpura-pura. Hanya kita tahu bagaimana kita dengan Rasulullah S.A.W. Banyakkanlah berselawat ke atas Rasulullah S.A.W, moga hati kita semua disatukan kerana Allah dan kita antara yang mendapat syafaat Baginda nanti di akhirat. Amiin.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى ال سيدنا محمد

harakahdaily.net

captcha